Sabtu, 15 Maret 2014


BESUT – Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang dimulakan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) sejak 10 tahun lalu berjaya membantu menurunkan kadar jenayah di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini.

Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud berkata kajian mendapati 96 peratus tahap rasa selamat kini dirasai penduduk Terengganu khususnya di sekitar KRT ekoran terdapatnya rondaan anggota SRS di kawasan berkenaan.

Katanya, buat masa ini terdapat sebanyak 345 SRS diwujudkan oleh KRT di seluruh negeri yang jelas membantu dalam penurunan kes-kes jenayah di peringat akar umbi.

“Dalam menjalankan tugas sukarela itu, setiap peronda SRS dilindungi insurans berkelompok selain mendapat manfaat lain daripada JPNIN,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Seminar Keselamatan Kejiranan Peringkat Daerah Besut di Pusat Aktiviti Perpaduan Daerah Besut, Kampung Raja di sini hari ini.

Program disertai 200 peserta SRS dan pemimpin KRT Besut.

Burhanuddin juga berkata JPNIN Terengganu merancang memperkenalkan kaedah menjaga keselamatan komuniti menerusi konsep, setiap sepuluh keluarga mempunyai seorang anggota peronda SRS yang diinisiatifkan KRT setempat.

Katanya, kaedah itu sudah diperkenalkan di beberapa kawasan SRS terpilih dan ia dilihat amat berkesaan untuk meningkatkan lagi kesejahteraan komuniti.

Sempena majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan alat perhubungan atau ‘Walkie Talkie’ kepada enam kawasan SRS yang baru ditubuhkan di daerah Besut.

Kini terdapat 51 kumpulan SRS di kawasan berkenaan. – BERNAMA

Categories: , , , , ,

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!