Kamis, 20 Februari 2014


KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa satu penguatkuasaan bersepadu dilakukan oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan pusat atau negeri untuk membasmi gerakan ajaran sesat di negara ini.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan itu perlu menjalin kerjasama dengan majlis agama untuk melakukan pemantauan dan tindakan yang berkesan.

“Ancaman yang dibawa oleh ajaran sesat bukanlah fenomena baru bagi kita rakyat Malaysia kerana dari dulu lagi kita berdepan dengan pelbagai pergerakan ajaran sesat.

“Pengikut ajaran sesat ini mempunyai satu faktor sepunya di mana mereka begitu taksub dengan ketua mereka. Ini sangat bercanggah dengan ajaran Islam kerana Islam tidak mengajar umatnya taksub kepada pemimpin,” katanya melalui satu kenyataan.

Khairul Azwan berkata, ketaksuban luar biasa pengikut ajaran sesat tanpa mengira agama amat berbahaya kerana ada antara mereka sanggup menimbulkan huru hara dan melakukan perkara luar batas norma manusia.

Sebagai contoh, katanya. ajaran Aum Shinrikyo yang bertapak di Jepun sekitar tahun 90an mengorbankan 12 orang awam dan 5,000 orang cedera dalam satu serangan gas beracun di stesen kereta api bawah tanah.

Ajaran itu turut mengarahkan pengikut mereka membuat dan menyimpan senjata buatan sendiri untuk tujuan memporakporandakan negara.

Lebih teruk, katanya, di Amerika sekitar tahun 70an, satu siri pembunuhan diri beramai-ramai berlaku di Guyana yang mengakibatkan seramai 918 orang terkorban.

Jelas beliau, siri bunuh diri beramai-ramai itu dilakukan secara sukarela oleh pengikut ajaran berkenaan kerana ketaksuban mereka terhadap ketua ajaran sesat pada masa itu yang bernama Jim Jones.

“Ancaman ini bukan sahaja wujud di kalangan penganut beragama Islam sahaja malahan ia menular dalam kalangan penganut agama agama lain di serata dunia,” katanya.

Justeru, katanya, semua golongan masyarakat sedia maklum penggerak ajaran ajaran sesat memesongkan fahaman agama individu yang mereka dekati dan cuba sedaya upaya mendesak orang lain meninggalkan agama anutan mereka.

“Oleh itu tanggungjawab membanteras ajaran sesat ini adalah tanggungjawab kita bersama sebagai setiap ahli masyarakat yang hidup di bumi bertuah Malaysia ini,” katanya. 

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!